Cara Menyembuhkan Hati Yang Hiba
Setiap manusia yang dijadikan Allah dibekalkan dengan akal dan emosi
agar manusia boleh menjalankan kehidupan dengan sebaik yang mungkin.
Emosi perlu dikawal oleh akal dan akal pula perlu dikawal oleh iman.
Jika ketiga-tiga ini ada di dalam diri manusia, maka sudah pasti ia akan
menjadi manusia yang baik dan soleh. Bergantung kepada cara individu
tersebut untuk mengawal emosinya agar tidak keterlaluan dan sentiasa
berada dalam keadaan normal. Emosi yang hanya berpandukan kepada akal
semata-mata akan menjadi sesat dan jauh menyimpang dari ajaran Islam.
Contoh yang dapat kita lihat sekarang seperti ramai umat Islam yang
sanggup membunuh diri kerana kekecewaan yang sangat. Ada pula yang
sanggup membunuh atau mencederakan orang lain kerana terlalu marah.
Tetapi apabila ia dikawal oleh akal dan iman sudah tentu orang yang
sedih akan pasrah kerana ia tahu bahawa itu adalah ketentuan Allah dan
setiap perkara itu ada hikmah disebaliknya.
Hati yang hiba
tidak boleh kita hapuskan dan ia merupakan sebahagian daripada emosi
yang telah dianugerahkan kepada manusia. Caranya untuk mengawal hati
yang hiba ini ialah kembali kepada Islam seperti yang saya tegaskan di
atas. Islam mempunyai penawar yang mujarab bagi mengubati segala
penyakit manusia sama ada rohani atau jasmani. Hal ini sangat berbeza
dengan agama-agama yang lain kerana mereka tidak ada asas pembinaan
rohani kepada setiap umat mereka.
Membaca Al-Quran
Al-Quran adalah ubat yang sangat mustajab kepada manusia bagi
menghilangkan perasaan hiba dan segala penyakit hati dan jasad. Setiap
orang yang membaca Al-Quran akan menjadi tenang dan Allah akan
memberikannya jalan keluar atas segala kesulitan yang dihadapi olehnya.
Firman Allah yang bermaksud :
“Dan Kami turunkan dengan
beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan
rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya)
Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran
mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra : 82)
Seorang lelaki
datang berjumpa dengan Ibnu Mas’ud. Dia mengeluh dan berkata “Wahai
Ibnu Mas’ud nasihatilah aku dan berilah penawar untuk jiwaku yang
gelisah ini, aku tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiran aku bercelaru.
Ibnu Mas’ud menjawab “kalau begitu bacalah Al-Quran atau engkau
mendengar orang membaca Al-Quran.
Mengunjungi Tempat Pengajian
Mengunjungi tempat pengajian juga merupakan cara untuk mendidik jiwa
agar mengenali dan sentiasa mengingati Allah. Tidak rugi orang yang
sentiasa mengunjungi tempat pengajian, kerana di dalam pengajian
tersebut dipenuhi dengan nasihat, ilmu, ayat-ayat Al-Quran dan hadis.
Ini bertujuan untuk mendidik nafsu dan emosi kita agar sentiasa
bertindak mengikuti kehendak Allah dan tidak menyalahi syarak. Menuntut
ilmu adalah amalan yang sangat baik dan sangat dituntut oleh Islam dan
ia juga merupakan fardu ain bagi sekalian umat Islam.
Telah
Berkata Muadz bin Jabal : “Pelajarilah Ilmu, karena mempelajari ilmu
merupakan bentuk Khosyah (takut) kepada Allah, Menuntutnya adalah ibadah
dan mempelajarinya secara bersama-sama adalah tasbih”.
Jelas
di sini, orang yang rajin menuntut ilmu atau menghadiri kelas-kelas
pengajian ilmu, seolahnya ia sentiasa bertasbih dan berzikir kepada
Allah. Segala kepayahan, kesukaran dan kesedihan yang dihadapi olehnya
akan terubat dan ia tahu bagaimana untuk bertindak sesuai dengan
tuntutan Islam. Ini berbeza dengan orang yang tidak menuntut ilmu,
kerana mereka sering melakukan kesalahan dalam tindakan mereka dan
kadang-kadang ibadah yang dilakukan juga silap. Perkara sebegini sangat
bahaya dan sangat merugikan orang yang tidak berilmu.
Sentiasa Berzikir
Untuk menghilangkan perasaan hiba yang dialami oleh seseorang, maka
hendaklah ia sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Perasaan hiba ini
berlaku apabila hati seseorang itu terluka. Untuk merawat hati yang
terlupa memerlukan suatu kaedah yang rohaniah dan tidak boleh
menggunakan ubat-ubatan farmasi atau klinik. Zikir adalah ubat yang
sangat mustajab dan sangat mempengaruhi hati seseorang yang selalu
berzikir.
Jika ia berjalan tersepak batu mulutnya terus
menyebut “Allah Akbar”, setelah kekenyangan dia menyebut
“Alhamdulillah”, apabila ia terperanjat atau melihat sesuatu yang
menakjubkan dia menyebut “Subhanallah”. Inilah yang dikatakan orang yang
memiliki hati yang hidup dan sentiasa mengingati Allah. Firman Allah
yang bermaksud :
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan zikrullah”. ketahuilah dengan “zikrullah”
itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Rad : 28)
Mengerjakan Solat
Solat merupakan ibadah yang paling penting di dalam Islam, tanpa
mendirikan solat! ibadah lain juga turut ditolak. Jadi kita sebagai umat
Islam, jangan sesekali mensia-siakan amanah yang diperintahkan Allah
ini pada setiap hari dan waktu, walaupun sibuk dengan tugasan harian,
namun solat sesekali tidak pernah ditinggalkan. Hadis Nabi yang
bermaksud :
“Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat
maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah
meruntuhkan agama”. (Riwayat Baihaqi)
Berkata Dr. Musfir Bin
Said Az-Zahrani bahawa solat adalah satu nama yang menunjukkan adanya
ikatan yang kuat antara hamba dengan Tuhannya. Dalam solat, hamba seolah
berada di hadapan Tuhannya dan dengan penuh kekhusyukannya memohon
banyak hal kepadaNya. Perasaan ini akhirnya boleh menimbulkan adanya
kejernihan spiritual, ketenangan hati dan keamanan diri di kala ia
mengerahkan semua emosi dan anggota tubuhnya mengarahkan kepadaNya
dengan meninggalkan semua kesibukkan dunia dan permasalahannya. Pada
saat solat ia boleh sepenuhnya memikirkan Tuhannya tanpa ada interaksi
dari sesiapa pun hingga pada saat itulah ia merasakan ketenangan dan
akalnya pun seolah menemukan waktu rehatnya.
Jelas di sini,
bahawa solat adalah sebahagian dari terapi yang boleh mengubati jiwa
seseorang yang berada di dalam keadaan hiba. Semasa mendirikan solat,
seseorang itu harus mengosongkan jiwa dan raganya untuk member sepenuh
tumpuan kepada Allah. Segala yang berlaku sebelum solat telah
diredhokannya kerana ia hendak memfokuskan seluruh hatinya kepada solat
dengan harapan mendapat khusyuk kepada Allah. Secara tidak langsung,
kita tidak mempunyai perasaan iri hati dan dendam kepada sesiapa yang
melakukan masalah kepada kita kerana telah redho kepada ketentuan dan
ketetapan Allah. Dua perkara yang dapat kita hindar setelah menunaikan
solat iaitu perasaan hiba atau kecewa dan perasaan ingin melakukan
kejahatan yang jelas dilarang oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ (Al-Ankabut : 45)
Amat rugi bagi orang yang mendirikan solat secara sambil lewa tanpa ada
semangat untuk melaksanakan solat dengan baik sepertimana yang
diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Solat yang tidak sempurna
diibaratkan seperti kain buruk dan kain itu akan dicampakkan oleh Allah
ke muka kita apabila dihari perhitungan nanti.
Bersangka Baik Kepada Orang
Salah satu sifat yang disarankan oleh Islam ialah bersangka baik kepada
orang lain (husnuzon) dan ia adalah salah satu dari sifat mahmudah yang
ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Punca timbulnya rasa tidak tenang
kepada orang lain adalah kerana kita mempunyai perasangka yang tidak
baik kepada orang lain sehingga menyebabkan hubungan kita dengan orang
tersebut tidak selesa. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai
orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian
dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat)
maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat :
12)
Sikap berbaik sangka ada banyak kebaikannya di antara diri
kita dan orang lain. Orang yang berbaik sangka sentiasa mudah untuk
menerima orang lain di dalam kehidupannya walaupun orang tersebut tidak
mempunyai apa-apa pertalian darah darinya. Walaupun begitu, dia
menganggap orang lain seperti saudaranya yang dekat dan sentiasa mudah
untuk membantu dan menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain. Malah
inilah perkara yang dianjurkan oleh Islam, kerana setiap umat Islam itu
adalah bersaudara. Ibarat tangan kanan dicubit tangan kiri juga turut
merasai kesakitannya.
Selain dari itu, hubungan persaudaraan
sesama Islam menjadi lebih baik dan lebih inteam di antara satu sama
lain. Ini berlaku adalah disebabkan oleh perasaan yang bebas dan hati
yang terbuka dari sebarang sikap dan sifat yang buruk terhadap
saudaranya yang lain. Segala kesalahan dan teguran dari orang lain akan
dinilai olehnya dengan positif, jika teguran itu baik menuruti
lunas-lunas undang-undang Islam akan diterimanya dengan tenang. Manakala
yang tidak menepati kehendak Islam akan ditolaknya dengan alasan yang
baik dan terbuka. Sekiranya orang lain melakukan kesalahan kepadanya
seperti mencerca dan menyakiti hatinya, ia akan segera memaafkan orang
tersebut dan diubati kesakitannya dengan zikir dan mengingati Allah.
Penutup
Segala garis panduan yang diberikan di sini, boleh mengubati perasaan
yang hiba itu, kerana hati yang hiba tidak boleh diubati dengan ubat, ia
mesti diubati dengan rawatan rohani yang hanya terdapat di dalam agama
Islam sahaja. Islam meliputi semua aspek iaitu rohani dan jasmani dan
merupakan pelengkap kepada kehidupan manusia. Setiap apa yang berlaku
kembalilah kepada agama Islam, nescaya Islam itu mempunyai kaedah yang
tersendiri dan mampu mengubati seluruh penyakit yang ada pada manusia.
Selain itu, segala ibadah yang dilakukan dapat meningkatkan keimanan
kita kepada Allah dan menjadikan kita seorang hamba yang baik dan soleh.
Hal ini semua boleh diperolehi, jika segala ibadah dilakukan dengan
sebaik yang mungkin seperti ikhlas dan tanpa ada apa-apa perasaan
sebaliknya.
♥♥♥ :: ♥|LIKE|SHARE|COMMENT Navigate jasin ::. ツ ♥♥♥
-sahabatmu aiman-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan